Tuesday, May 21, 2013

Proride Info - Diagnos Sendiri Engin Kereta Anda


Tahukah anda, dengan hanya melihat asap ekzos, anda sudah boleh mendiagnosis sendiri keadaan sesebuah enjin? Kebolehan untuk mendiagnosis ini bukan  sahaja membolehkan anda mengetahui tahap ‘kesihatan’ enjin, malah juga boleh menggunakannya semasa membeli kereta terpakai atau enjin terpakai dari kedai ‘halfcut’ untuk mengelakkan daripada tertipu. Warna asap ekzos akan menggambarkan bagaimana tahap pembakaran dalam enjin anda. Justeru, keadaan  komponen dalaman enjin anda juga dapat diduga berdasarkan hasil pembakaran tersebut. 




Asap putih/wap air/ air daripada paip ekzos ketika waktu pagi atau sejuk. Jika ini merupakan hasil daripada pembakaran enjin anda, tahniah. Anda mempunyai enjin yang sangat sihat. Injap dan gegelang omboh masih lagi dalam keadaan kedap, sistem pancitan bahan api (EFI) berfungsi dengan sempurna dan karburetor (jika menggunakan karburetor) berada pada talaan yang paling sempurna. Petrol mempunyai unsur Karbon (C) dan Hidrogen (H), manakala dalam udara pula mempunyai unsur Oksigen (O). Jadi jika semua komponen dalaman enjin kedap, karburetor atau sistem EFI mendapat talaan campuran udara dan bahan api dengan nisbah 14.7:1, ia akan menghasilkan pembakaran yang sempurna. Jadi setelah petrol dan oksigen terbakar dengan sempurna dan bertindak balas, hasil pembakaran tersebut akan menjadi air (H20) setelah bercampur pula dengan udara sejuk sekeliling yang mempunyai lebih oksigen.

Asap Hitam
Asap hitam adalah berpunca dari talaan nisbah campuran udara dan petrol yang terlalu ‘rich’ iaitu nisbah petrol yang lebih banyak daripada biasa. Biasanya asap hitam ini akan datang sekali dengan masalah penggunaan petrol yang meningkat. Bau petrol pada ekzos juga agak kuat. Jika anda menggunakan sistem pancitan bahan api elektronik, ia perlulah diperiksa di pusat servis bertauliah menggunakan komputer pengimbas untuk mengesan masalah atau komponen yang tidak berfungsi dengan sepatutnya. Tidak seperti karburetor, sistem  pancitan bahan api elektronik ini mempunyai memori yang telah disetkan dan talaannya tidak akan salah jika semua komponen berfungsi dengan baik. Dan jika anda menggunakan karburetor, ia memerlukan talaan semula untuk membetulkan nisbah campuran udara dan bahan api mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Bawa kereta anda kepada mekanik yang  berpengalaman kerana karburetor ini komponen yang sangat sensitif. Jika tersalah tala, mungkin kereta anda akan lebih kuat penggunaan petrolnya atau mungkin akan kehilangan kuasa! 

Asap kelabu kebiruan
Apabila ekzos mengeluarkan asap biru atau kelabu, ini bermaksud ada kebocoran minyak enjin ke dalam kebuk pembakaran yang menyebabkan minyak enjin terbakar sekali bersama campuran petrol dan udara. Masalah ini pasti akan datang sekali dengan masalah minyak enjin yang kerap berkurangan dan perlu ditambah. Kebocoran ini berpunca sama ada daripada valve seal pada kepala silinder yang bocor atau lebih teruk mungkin disebabkan kebocoran pada gegelang omboh. Apa  yang pasti, Top overhaul perlu dilakukan pada enjin anda untuk menggantikan valve seal yang bocor. Dan mungkin juga proses major overhaul perlu jika didapati gegelang omboh sudah tidak kedap lagi. 

Asap putih yang berterusan 
Jika asap putih ini berterus keluar  dari ekzos, ini bermaksud air dari water jacket di sekeliling blok enjin anda sudah memasuki kebuk pembakaran. Masalah ini semestinya akan datang sekali dengan masalah suhu enjin yang naik mendadak berbanding suhu normal. Air tersebut masuk boleh berpunca dari gasket kepala silinder yang bocor atau ia sudah rosak menyebabkan air terlepas ke kebuk pembakaran. Senario paling teruk, air tersebut akan bercampur dengan minyak enjin dan anda boleh mengesannya setelah membuka penutup minyak enjin-minyak enjin anda akan berubah warna kepada warna seakan-akan teh tarik. Penyelesaiannya sudah tentu Top overhaul perlu dilakukan ke atas enjin tersebut. 

Semoga Semua informasi ini dapat meningkatkan sedikit sebanyak pengetahuan anda.

Terima Kasih.

PRORIDE Dealer



Sunday, May 19, 2013

PRORIDE Info : PUSH - START...Jangan Salah Buat..

Anda tentu pernah berdepan dengan situasi di mana bateri kereta anda kehabisan kuasa ‘kong’ ketika mahu menghidupkan kereta bukan? Ketika ini pilihan anda adalah sama ada ‘jump start’ kereta anda dengan bateri dari kereta lain ataupun menunggu bantuan dari mekanik yang membawa bateri baru untuk anda. Namun jika anda menggunakan kereta dengan transmisi manual, ada satu lagi opsyen yang boleh anda praktikkan iaitu menghidupkan enjin kereta dengan cara menolak kereta.
Proses ini anda boleh lakukan seorang, tetapi adalah dinasihatkan untuk melakukannya sama ada dua orang atau lebih terutamanya kereta yang besar dan berat.



Langkah-langkah:

1.Pastikan dahulu masalah tersebut betul-betul berpunca daripada bateri yang lemah atau starter motor yang gagal berfungsi.
2. Pastikan keadaan sekeliling selamat. Jangan lakukan di kawasan trafik yang sesak.
3 .Pastikan seseorang duduk di tempat pemandu untuk menghidupkan kereta dan mengawal stereng sementara seorang lagi menolak kereta itu
dari belakang.
4 .Tutup semua aksesori seperti radio, lampu, pengelap cermin dan lain-lain.
5 .Tekan pedal klac dengan kaki kiri anda. Jangan lepaskan klac sehingga kereta dihidupkan.
6 .Masukkan gear ke posisi gear dua atau gear tiga.
7 .Lepaskan brek tangan dan jangan tekan brek kaki.
8 .Kaki kanan bersedia untuk menekan pedal minyak.
9 .Mulakan menolak kereta.
10. Apabila sudah cukup lajak, lepaskan pedal klac.
11 .Enjin akan hidup setelah pedal klac dilepaskan. Tekan semula pedal klac dan brek untuk memberhentikan kereta.
12 .Setelah memastikan semuanya selamat, pandu kereta anda ke bengkel berhampiran untuk menukar bateri.

Semoga semuanya selamat :)

PRORIDE Dealer
www.facebook.com/ProrideProduct

Wednesday, May 15, 2013

Proton dan Perodua Menyasarkan Penurunan Kos Pengeluaran

Jalin kerjasama tingkat daya saing vendor automotif

PROTON Holdings Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju untuk bekerjasama membangunkan vendor masing-masing dengan sasaran menurunkan kos pengeluaran sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang akhir tahun depan.
Kerjasama strategik yang diaturkan Institut Automotif Malaysia (MAI) itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan harga kereta menerusi mekanisma lebih mapan, pada masa sama meningkatkan daya saing vendor automotif tempatan pada peringkat global.
Penggabungan vendor juga antara inisiatif dan aktiviti yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu, tetapi ia mungkin memakan masa agak lama untuk dilaksanakan kerana membabitkan ekuiti dan pengedaran” Mohamad Madani Sahari, Ketua Eksekutif MAI
Ketua Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari, berkata sebuah jawatankuasa peringkat tinggi akan ditubuhkan bagi menerajui kerjasama strategik itu yang akan dipengerusikan sendiri oleh MAI.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi antara kedua-dua pengeluar kereta nasional itu penting bagi merasionalisasikan dasar strategik pembangunan vendor masing-masing.
Objektif pembangunan vendor itu, katanya adalah untuk memastikan vendor automotif tempatan dapat membekalkan produk keluaran mereka pada kos lebih rendah kepada PROTON Holdings dan PERODUA menerusi pengurusan kos yang cekap.



Perkasa daya saing vendor

“Kedua-dua pihak akan diwakili peneraju syarikat kerana ia membabitkan langkah rasionalisasi dasar, iaitu langkah penting yang memungkinkan pelaksanaan usaha mengukuhkan vendor ini.
“Mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan diadakan pada bulan depan bagi membincangkan pelaksanaan langkah membangunkan vendor dan antara yang akan dibincangkan termasuk pelan tindakan memperkasakan daya saing vendor, kecekapan pengurusan kos, pembangunan teknologi cekap tenaga dan pengeluaran.
“Penggabungan vendor juga adalah antara inisiatif dan aktiviti yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu, tetapi ia mungkin memakan masa agak lama untuk dilaksanakan kerana membabitkan ekuiti dan pengedaran,” katanya kepada BH di Cyberjaya, baru-baru ini.
Mohamad Madani berkata, langkah pengukuhan vendor itu juga diharapkan dapat meningkatkan lagi jumlah vendor automotif tempatan dalam kelompok tahap lima dan tahap empat iaitu tahap tertinggi dalam industri automotif.

Buat reka bentuk sendiri




“Kami mahu wujudkan antara 100 hingga 150 vendor tahap lima atau yang mampu membuat reka bentuk produk sendiri dan proses rekaan untuk PROTON dan PERODUA, manakala bagi vendor tahap empat iaitu yang boleh membuat proses reka bentuk sendiri adalah antara 150 hingga 200.
“MAI sasarkan objektif ini dapat dicapai menjelang akhir 2014 dan setakat ini semua perancangan yang diatur berjalan mengikut perancangan,” katanya.



Bro Azrol
Proride Dealer
0122807651