Tahukah anda, dengan
hanya melihat asap ekzos, anda sudah boleh mendiagnosis sendiri keadaan
sesebuah enjin? Kebolehan untuk mendiagnosis ini bukan sahaja membolehkan
anda mengetahui tahap ‘kesihatan’ enjin, malah juga boleh menggunakannya semasa
membeli kereta terpakai atau enjin terpakai dari kedai ‘halfcut’ untuk
mengelakkan daripada tertipu. Warna asap ekzos akan menggambarkan bagaimana
tahap pembakaran dalam enjin anda. Justeru, keadaan komponen dalaman
enjin anda juga dapat diduga berdasarkan hasil pembakaran tersebut.
Asap putih/wap air/ air
daripada paip ekzos ketika waktu pagi atau sejuk. Jika ini merupakan hasil
daripada pembakaran enjin anda, tahniah. Anda mempunyai enjin yang sangat
sihat. Injap dan gegelang omboh masih lagi dalam keadaan kedap, sistem pancitan
bahan api (EFI) berfungsi dengan sempurna dan karburetor (jika menggunakan
karburetor) berada pada talaan yang paling sempurna. Petrol mempunyai unsur
Karbon (C) dan Hidrogen (H), manakala dalam udara pula mempunyai unsur Oksigen
(O). Jadi jika semua komponen dalaman enjin kedap, karburetor atau sistem EFI
mendapat talaan campuran udara dan bahan api dengan nisbah 14.7:1, ia akan
menghasilkan pembakaran yang sempurna. Jadi setelah petrol dan oksigen terbakar
dengan sempurna dan bertindak balas, hasil pembakaran tersebut akan menjadi air
(H20) setelah bercampur pula dengan udara sejuk sekeliling yang
mempunyai lebih oksigen.
Asap Hitam
Asap hitam adalah
berpunca dari talaan nisbah campuran udara dan petrol yang terlalu ‘rich’ iaitu
nisbah petrol yang lebih banyak daripada biasa. Biasanya asap hitam ini akan
datang sekali dengan masalah penggunaan petrol yang meningkat. Bau petrol pada
ekzos juga agak kuat. Jika anda menggunakan sistem pancitan bahan api
elektronik, ia perlulah diperiksa di pusat servis bertauliah menggunakan
komputer pengimbas untuk mengesan masalah atau komponen yang tidak berfungsi
dengan sepatutnya. Tidak seperti karburetor, sistem pancitan bahan api
elektronik ini mempunyai memori yang telah disetkan dan talaannya tidak akan
salah jika semua komponen berfungsi dengan baik. Dan jika anda menggunakan
karburetor, ia memerlukan talaan semula untuk membetulkan nisbah campuran udara
dan bahan api mengikut spesifikasi yang sepatutnya. Bawa kereta anda kepada
mekanik yang berpengalaman kerana karburetor ini komponen yang sangat
sensitif. Jika tersalah tala, mungkin kereta anda akan lebih kuat penggunaan
petrolnya atau mungkin akan kehilangan kuasa!
Asap kelabu kebiruan
Apabila ekzos
mengeluarkan asap biru atau kelabu, ini bermaksud ada kebocoran minyak enjin ke
dalam kebuk pembakaran yang menyebabkan minyak enjin terbakar sekali bersama
campuran petrol dan udara. Masalah ini pasti akan datang sekali dengan masalah
minyak enjin yang kerap berkurangan dan perlu ditambah. Kebocoran ini berpunca
sama ada daripada valve seal pada kepala silinder yang bocor atau lebih teruk
mungkin disebabkan kebocoran pada gegelang omboh. Apa yang pasti, Top
overhaul perlu dilakukan pada enjin anda untuk menggantikan valve seal yang
bocor. Dan mungkin juga proses major overhaul perlu jika didapati gegelang
omboh sudah tidak kedap lagi.
Asap putih yang
berterusan
Jika asap putih ini
berterus keluar dari ekzos, ini bermaksud air dari water jacket di
sekeliling blok enjin anda sudah memasuki kebuk pembakaran. Masalah ini
semestinya akan datang sekali dengan masalah suhu enjin yang naik mendadak
berbanding suhu normal. Air tersebut masuk boleh berpunca dari gasket kepala
silinder yang bocor atau ia sudah rosak menyebabkan air terlepas ke kebuk pembakaran.
Senario paling teruk, air tersebut akan bercampur dengan minyak enjin dan anda
boleh mengesannya setelah membuka penutup minyak enjin-minyak enjin anda akan
berubah warna kepada warna seakan-akan teh tarik. Penyelesaiannya sudah tentu
Top overhaul perlu dilakukan ke atas enjin tersebut.
Semoga Semua informasi ini dapat meningkatkan sedikit sebanyak pengetahuan anda.
Terima Kasih.
PRORIDE Dealer
Post a Comment